KOTA KINABALU, 11 Ogos (Bernama) -- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pulau Banggi berperanan penting dalam menyediakan kemudahan capaian Internet, latihan kemahiran digital dan akses maklumat kepada komuniti di luar bandar.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan NADI Pulau Banggi turut dilengkapi ruang latihan serta perkhidmatan maklumat yang menyokong pembangunan ekonomi, pendidikan dan keusahawanan digital.
“Teknologi Starlink di NADI Pulau Banggi juga menyediakan akses Internet berkelajuan tinggi, dengan kelajuan minimum melebihi 100Mbps,” menurut agensi itu di sini, hari ini.
Menurut MCMC, inisiatif NADI Pulau Banggi sebagai sebahagian daripada Projek Inklusif Digital NADI Malaysia juga telah dinobatkan sebagai juara World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 bagi kategori C4: Capacity Building dianjurkan oleh International Telecommunication Union (ITU) bersama agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Pengiktirafan ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan tiada komuniti terpinggir daripada arus pendigitalan negara,” menurut agensi itu.
Semalam, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengadakan lawatan ke NADI Pulau Banggi bagi memantau perkembangan pusat komuniti digital sehenti di bawah inisiatif MCMC itu, selain berinteraksi bersama komuniti setempat termasuk ahli Komuniti MADANI serta meninjau status keterhubungan telekomunikasi di Kudat.
Fahmi turut memantau kemajuan liputan telekomunikasi di sekitar Pulau Banggi, yang menunjukkan perkembangan positif dalam memperluas capaian rangkaian dan meningkatkan keterhubungan terutamanya untuk komuniti di Sabah.
Menurut MCMC, lawatan itu menzahirkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk meningkatkan ketercapaian digital luar bandar sekali gus memacu pembangunan sosioekonomi dan memperkukuh agenda pendigitalan negara.
Pulau Banggi, yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Kudat, mempunyai sekitar 20,000 penduduk dengan sumber ekonomi berasaskan perikanan, kelapa sawit dan getah yang hanya boleh diakses menggunakan feri atau bot laju.
Kudat merupakan daerah di utara Sabah, kira-kira 180 kilometer dari Kota Kinabalu, dengan perjalanan darat mengambil masa lebih kurang tiga jam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial