BELANJAWAN 2025 > BERITA

3,000 Peserta Meriahkan Larian Hari Malaysia 2025 Di Bintulu

16/09/2025 11:15 AM

BINTULU, 16 Sept (Bernama) -- Kira-kira 3,000 peserta menyertai acara Larian Hari Malaysia 2025 yang berlangsung di pekarangan Dewan Suarah Bintulu pagi ini.

Pelepasan peserta disempurnakan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2025  Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Sebelum larian sejauh enam kilometer itu bermula, para peserta bersama tetamu kenamaan mengambil bahagian dalam sesi senamrobik sebagai aktiviti pemanas badan.

Larian itu antara pengisian Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2025 yang kemuncaknya akan berlangsung malam ini.

Penyertaan masyarakat pelbagai lapisan dalam acara itu menambah kemeriahan sambutan, selain mencerminkan semangat perpaduan Hari Malaysia.

Sementara itu, majlis kesyukuran bersempena dengan sambutan itu diadakan di Masjid Assyakirin di sini malam tadi.

Kehadiran Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyerikan lagi majlis berkenaan.

Pengisian majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Imam Besar Sarawak Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan surah Yasin, zikir marhaban oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Bintulu, serta doa kesyukuran memohon agar Sarawak dan Malaysia terus diberkati dengan kemakmuran dan kesejahteraan.

Hadirin kemudian menunaikan solat isyak berjemaah sebelum meneruskan majlis dengan jamuan makan.

Majlis berkenaan bukan sahaja memperkukuh perpaduan antara rakyat dan pemimpin, malah menjadi simbol kesatuan dalam usaha mencapai pembangunan seimbang, sambil memelihara keharmonian yang menjadi asas kekuatan Sarawak dalam membangun Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan