BELANJAWAN 2024

LANGKAH PENJIMATAN TIDAK JEJAS PROJEK PEMBANGUNAN TELAH DILULUSKAN - MUSTAPA

21/07/2022 05:41 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan hari ini memberi jaminan bahawa projek-projek pembangunan yang telah diluluskan tidak akan terjejas susulan pengumuman mengenai langkah penjimatan perbelanjaan, baru-baru ini.

Sambil menyifatkan kebimbangan mengenainya sebagai tidak berasas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan bahawa hanya projek yang belum memulakan proses perolehan serta belum diiklankan dikenal pasti terbabit dengan langkah tersebut.

Menurutnya, ini berikutan pembangunan berterusan itu penting dalam menjana ekonomi dan memastikan Malaysia mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.3-6.3 peratus bagi 2022.

“Setakat ini, 30 projek dengan peruntukkan RM100 juta telah dikenal pasti berbanding 7,243 projek pembangunan yang diluluskan tahun ini.

“Angka ini kecil dan belum dimuktamadkan kerana (proses) libat urus sedang dijalankan. Apa yang penting, projek pembangunan akan tetap dijalankan," katanya pada majlis pengumuman program latihan Gemilang oleh Google di sini, hari ini.

Selain itu, Mustapa berkata walaupun berdepan tekanan inflasi, sektor-sektor ekonomi utama seperti runcit kekal berkembang akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

"Sudah pasti ada segelintir rakyat yang tidak percaya (dengan kemampuan kita) untuk mencapai angka (unjuran ekonomi) tersebut.

“Kita ambil maklum dan atas alasan itulah kerajaan memperuntukkan subsidi berjumlah RM77.7 bilion tahun ini iaitu meningkat berbanding RM31 bilion yang ditetapkan dalam Bajet 2022,” katanya.

Pada minggu lepas, Pekeliling Perbendaharaan Malaysia menyatakan penstrukturan semula peruntukan perbelanjaan operasi adalah untuk membantu membiayai sebahagian daripada perbelanjaan tambahan berkaitan subsidi untuk manfaat rakyat.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan