BELANJAWAN 2024

67 PJKM DILAKSANA BANTU RAKYAT DAPAT BARANG KEPERLUAN MURAH

27/07/2022 12:59 PM

MELAKA, 27 Julai (Bernama) -- Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka telah mengadakan 67 Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) sehingga 31 Jun di seluruh kawasan Parlimen di negeri berkenaan sejak ia mula diperkenalkan awal tahun ini.

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata program itu bertujuan memastikan golongan terkesan mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran sehingga 20 peratus.

"Selain itu pemeriksaan Op ATM (Ayam, Telur dan Minyak Masak) di bawah Op Catut 9.0 (Minyak Masak Tulen) bagi memastikan tiada pengeluar, pemborong dan peruncit mengambil kesempatan menaikkan harga yang tidak munasabah serta tiada aktiviti menyorok barang kawalan dilakukan peniaga.

"Sehingga kini pemeriksaan Op ATM membabitkan 94 premis melibatkan pengeluar, pemborong dan peruncit di Melaka," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Leng Chau Yen (PH-Bandar Hilir) yang ingin tahu langkah diambil kerajaan negeri untuk mengawal kenaikan harga barang dan anggaran kenaikan kos sara hidup akibat pengurangan serta pemansuhan subsidi minyak dan barangan termasuk telur dan ayam.

Mengulas berkaitan subsidi, Ngwe berkata kerajaan Persekutuan dijangka memperuntukkan RM4 bilion bagi pemberian subsidi minyak masak tahun ini.

"Malahan kerajaan Persekutuan dijangka membelanjakan peruntukan kira-kira RM77 bilion pada 2022 bagi tujuan (pelbagai) subsidi (berkaitan).

"Jumlah ini lebih besar daripada apa yang diperuntukkan di bawah Bajet 2022 iaitu sebanyak RM30 bilion jadi tanggapan (pengurangan dan pemansuhan subsidi) adalah tidak tepat," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan