BELANJAWAN 2024

JOHOR HARAP PROJEK MEGA DITERUSKAN DI BAWAH KERAJAAN PERSEKUTUAN BAHARU

23/11/2022 07:11 PM

KULAI, 23 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri Johor berharap projek-projek mega yang sedang dan bakal dilaksanakan di negeri ini dapat diteruskan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan baharu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han.

Beliau berkata ia berikutan projek mega termasuk pemberian status khas kepada Pengerang sebagai hab petrokimia negara yang diumumkan dalam Bajet 2023 bukan sahaja memanfaatkan Johor, tetapi Malaysia secara keseluruhan.

“Justeru, kerajaan negeri menerusi Bahagian Perancangan Ekonomi Johor akan memastikan untuk terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan bagi meneruskan usaha-usaha ini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah ibu pejabat dan fasiliti pembuatan Sun Bus Tech di Senai Airport City di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapan kerajaan negeri terhadap pembentukan kerajaan Persekutuan baharu.

Lee turut berharap agar kerajaan Persekutuan yang bakal dibentuk akan mengutamakan kepentingan rakyat meskipun parti yang memerintah tidak selari dengan kerajaan negeri.

“Kita percaya kerajaan Persekutuan yang bakal terbentuk nanti bersifat profesional dan kita juga percaya di peringkat pegawai penjawat awam akan terus membantu dan bekerjasama,” katanya.

Mengenai pelaburan, Lee berkata rata-rata pelabur mengambil pendirian tunggu dan lihat untuk mengetahui hala tuju baharu kerajaan Persekutuan yang akan dibentuk. 

“Bagaimanapun, kita sentiasa berbincang dengan pelabur dan beri keyakinan kepada mereka bahawa kita (kerajaan negeri) kerja seperti biasa, tetapi untuk pelabur mega, mereka ambil pendirian tunggu supaya mereka dapat tahu apa polisi kerajaan baharu,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan