BELANJAWAN 2024

FINAS HARAP KERAJAAN TURUT FOKUS KEPADA INDUSTRI KREATIF DALAM BAJET 2023

25/11/2022 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berharap kerajaan akan turut fokus kepada industri kreatif dalam Bajet 2023 nanti, bagi mengangkat industri perfileman negara ke peringkat antarabangsa. 

Pengerusi Finas Senator Datuk Seri Zurainah Musa berkata peruntukan daripada kerajaan bukan sahaja dapat membawa perfileman negara ke pentas antarabangsa, tetapi juga mampu mewujudkan perhubungan sihat dengan negara lain.

Beliau berkata filem juga boleh meningkatkan setia kawan, membina hubungan orang ramai, di samping dapat memainkan peranan dalam meningkatkan ekonomi.

“Jika industri kreatif ini maju ia dapat membantu dalam meningkatkan ekonomi dan pendapatan negara,” katanya kepada pemberita pada sidang media Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM32) di sini, hari ini.

FFM32 bertujuan menjana jaringan dan kerjasama strategik antara kerajaan dan permain industri kreatif dengan pelaksanaan program mengangkat profesionalisme serta sebagai platform kebudayaan sinema kepada masyarakat melalui karya berkualiti.

FFM32 kali ini memilih lokasi di Encore, Melaka bagi mencerminkan kemajuan ekonomi negeri melalui pelaburan aktiviti perfileman serta pembangunan komuniti di mana acara itu boleh disaksikan secara langsung di Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) TV2 pada 9 malam, 2 Dis.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan