BELANJAWAN 2024

KDN SERAH KEPADA SPRM BERHUBUNG SIASATAN PENYELEWENGAN PERJANJIAN SUKUK - SAIFUDDIN NASUTION

20/03/2023 04:06 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pegawai KDN yang disyaki terlibat dalam penyelewengan perjanjian sukuk bernilai RM596 juta.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata SPRM harus diberi ruang seluas-luasnya untuk menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka mengikut lunas undang-undang.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini beliau berkata SPRM bebas menjalankan apa jua siasatan yang sesuai dengan tugas dan kewujudannya.

Rabu lepas, SPRM menahan empat individu termasuk pengarah dan ketua pegawai kewangan sebuah syarikat  bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dalam perjanjian sukuk yang melibatkan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Kesemua suspek yang berumur antara 40 dan 55 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, dan beberapa media turut melaporkan SPRM dijangka memanggil pegawai KDN bagi membantu siasatan.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai kebajikan warga Polis Diraja Malaysia, Saifuddin Nasution berkata perkara itu adalah satu usaha yang berterusan, dan bukan bermusim atau dilakukan bersempena sambutan Hari Polis semata-mata.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan