BELANJAWAN 2024

PEMBIAYAAN IPR DIJANGKA DISALURKAN BULAN DEPAN - SARASWATHY

28/03/2023 10:07 PM

TAPAH, 28 Mac  (Bernama) -- Pembiayaan untuk Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah komponen Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Usahawan Tani  (INTAN) akan mula disalurkan kepada penerima yang layak bulan depan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K. Saraswathy berkata inisiatif yang diselia oleh Kementerian Ekonomi itu akan membantu golongan miskin tegar menubuhkan koperasi bagi memulakan perniagaan seterusnya dapat keluar daripada belenggu kemiskinan.

"Setakat ini, saya difahamkan kira-kira 22,000 sudah berdaftar di bawah IPR sejak ia dilancarkan Februari lepas," katanya ketika ditemui selepas Program Sentuhan Mesra Gerakan Koperasi dan Tautan Kasih Ramadan bersama anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Aitam, Temoh di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Salbiah Mohamed.

Pada 24 Feb lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023, berkata kerajaan akan melaksanakan IPR dengan peruntukan RM750 juta kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan program berkenaan.

Program tersebut menyasarkan peserta meraih pendapatan antara RM2,000 dan RM2,500 sebulan dalam tempoh pemantauan 24 bulan, seterusnya menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang diperoleh.

Menerusi program itu, peserta boleh membuat permohonan IPR yang membabitkan tiga komponen iaitu INTAN, INSAN dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Terdahulu, seramai 35 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Aitam menerima pelbagai sumbangan antaranya baju raya, kelengkapan sekolah, meja, kerusi, tilam dan bantal pada program berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan