BELANJAWAN 2024

KOS YANG TINGGI CABARAN LAKSANA SISTEM EMR - DR ZALIHA

30/03/2023 01:16 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Kos perbelanjaan yang tinggi merupakan cabaran Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melaksanakan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di setiap hospital di seluruh negara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata pelaksanaan sistem itu memerlukan belanjawan yang tinggi dengan mungkin mencecah bilion ringgit kerana perlu menaik taraf infrastruktur hospital serta kesesuaian bangunan juga diambil kira.

“Peralatan yang sedia ada juga lama, jadi kita perlu menaik tarafnya sama ada membaik pulih atau menggantikan yang baharu. Perkara ini turut menyumbang keperluan bajet yang tinggi selain kos sistem itu sendiri.

“Bagi pelaksanaan yang tuntas mengenai perkara ini, kita memerlukan kerjasama daripada Kementerian Kewangan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang ingin tahu jangkaan sistem EMR boleh berintegrasi sepenuhnya serta kekangan dihadapi KKM dalam melaksanakannya kerana dilihat setiap hospital masih bekerja silo berhubung rekod perubatan pesakit.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata sehingga kini, sebanyak 103 Klinik Kesihatan telah dilengkapkan dengan sistem Teleprimary Care – Oral Health Clinical Information System (TPC-OHCIS) dan 42 Klinik Kesihatan di Negeri Sembilan akan dilengkapi sistem sama melalui projek EMR Kebangsaan.

“Terdapat 1,027 Klinik Kesihatan yang menggunakan sistem janji temu dalam talian melalui aplikasi MySejahtera, manakala 370 Klinik Kesihatan menawarkan perkhidmatan klinik maya kepada pelanggan mereka.

“Perancangan seterusnya adalah untuk memperluas semua sistem berkaitan secara lebih menyeluruh bagi mencapai objektif sistem maklumat kesihatan bersepadu,” katanya menjawab soalan asal Tan mengenai status terkini dalam pelaksanaan sistem EMR di hospital dan klinik di seluruh negara.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan