Selasa, 26 Januari 2021
Belanjawan 2021
04/11/2020 02:43 PM

GEORGE TOWN, 4 Nov -- Kerajaan Pulau Pinang memohon agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pelaksanaan projek-projek sosioekonomi di negeri ini yang dapat memberi manfaat kepada rakyat, sekali gus menjana semula ekonomi susulan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata antara projek pembangunan yang menjadi keutamaan kerajaan negeri adalah pengangkutan, pembangunan Sistem Aliran Ringan Berasaskan Rel ataupun LRT (laluan Komtar ke Bayan Lepas) dengan anggaran kos RM10 bilion, menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) serta projek perumahan rakyat.

"Ini kerana projek berkenaan adalah untuk kesejahteraan dan pembangunan bukan sahaja kepada Pulau Pinang tetapi juga kepada negara. Projek ini boleh menyumbang kepada perkembangan dan pemulihan ekonomi terutamanya yang berkaitan dengan COVID-19,"  katanya kepada Bernama hari ini.

Selain projek berkenaan, katanya adalah menjadi impian dan hasrat Pulau Pinang dalam belanjawan kali ini agar kerajaan persekutuan menerima cadangan negeri untuk pembesaran PIA sehingga 12 mppa (juta penumpang setahun) atau 16 mppa diteruskan.

Beliau berkata selain lapangan terbang, prasarana feri Pulau Pinang juga perlu dititikberatkan bagi merujuk kepada satu bentuk pengangkutan ‘ikonik’ negeri.

Menurutnya kementerian pengangkutan diharap dapat menyediakan pelan perancangan keseluruhan dan melaksanakan kerja-kerja naik taraf serta pengoperasian feri baharu yang dapat memenuhi keperluan sama seperti perkhidmatan feri sedia ada, yang bukan sahaja dapat menampung penumpang pejalan kaki malah pengguna basikal, motosikal, dan kenderaan persendirian yang lain.

"Bagi projek perumahan rakyat (PPR), kerajaan negeri telah mengenal pasti dan telah mencadangkan kepada kerajaan persekutuan lima kawasan untuk pembangunan PPR iaitu di Jelutong (Daerah Timur Laut), Jalan Mayang Pasir, Bukit Gedung (Daerah Barat Daya), Ujung Batu (Seberang Perai Utara), Kampung Tongkang (Seberang Perai Tengah) dan Batu Kawan (Seberang Perai Selatan). 

Katanya kerajaan persekutuan dimohon untuk mempertimbangkan PPR di Pulau Pinang setelah pembinaan 11 PPR diluluskan oleh  Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan dengan jumlah keseluruhan RM890 juta di Johor, Negeri Sembilan, Perlis, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Sabah. 

Dalam pada itu Chow berkata  Pulau Pinang telah menyumbang RM94.7 bilion atau 6.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2019 dan pencapaian itu meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri keempat tertinggi yang menyumbang kepada KDNK negara. 

"Kerajaan negeri menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan persekutuan atas beberapa pemberian di bawah Pemberian Mengikut Bilangan Kepala, Pemberian Pelancongan, Pemberian MARRIS dan lain-lain yang diterima setakat September 2020, yang berjumlah RM241.56 juta," katanya dan menambah kerajaan persekutuan wajar dan harus menilai semula pemberian itu agar setimpal dengan sumbangan negeri Pulau Pinang. 

"Justeru, kerajaan negeri ingin memohon sekurang-kurangnya RM1 bilion dapat disalurkan setiap tahun kepada kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan atas prestasi yang cemerlang ini," katanya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual membentangkan Belanjawan  2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat ini. 

-- BERNAMA

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan