BAJET 2022

Kelantan jangka kes COVID-19 turun dua minggu lagi - Exco

03/08/2021 02:11 PM

KOTA BHARU, 3 Ogos -- Kerajaan Kelantan menjangkakan kes jangkitan COVID-19 di negeri itu akan menurun dalam tempoh dua minggu lagi, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Dr Izani Husin.

Beliau berkata sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha lepas, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) sememangnya menjangkakan berlaku peningkatan kes COVID-19 selepas perayaan itu namun ia akan berkurangan semula sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan.

"Pada hari ini, selepas 10 hari sambutan Hari Raya Aidiladha, kita lihat kes turun sedikit dan kita jangka dua minggu lagi kes akan lebih menurun, kemudian vaksin akan naik (peningkatkan kadar vaksinasi) dan fasiliti hospital semakin stabil sekali gus membolehkan Kelantan memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) di Kompleks Islam Jubli Perak, Panji, dekat sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) JKNK Dr Abdul Haris Muhammad.

Kelantan merekodkan 552 kes positif COVID-19 semalam menjadikan kumulatif 44,005 kes dengan 133 kluster masih aktif.

Mengenai perkembangan vaksinasi di Kelantan, Dr Izani berkata 37 peratus penduduk negeri itu telah menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi dos pertama manakala 20 peratus lengkap dua dos setakat ini sekali gus dijangka mencapai 40 peratus imuniti kelompok pada penghujung Ogos.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan