BAJET 2022

Pelan pengurusan trafik dijalankan di tanah runtuh Jalan Bukit Larut

17/08/2021 11:26 PM

IPOH, 17 Ogos -- Kerja-Kerja pemasangan Pelan Pengurusan Trafik telah dijalankan di Kilometer 5 Jalan Bukit Larut yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Taiping berikutan kejadian tanah runtuh pagi tadi.

Jurutera Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Larut Matang dan Selama Mohammad Fadzli Tajon Aros berkata insiden tanah runtuh itu melibatkan kawasan sepanjang 25 meter di lokasi berhampiran Tea Garden pada kira-kira 8 pagi.

"Jalan ditutup di kedua-dua arah dan JKR akan mengadakan perbincangan bersama pihak konsesi berkaitan kaedah penyelesaian awal dan bajet," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bukit peranginan itu sudah lama ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan larangan aktiviti pelancongan sebelum ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Khairul Amir Mohamad Zubir pula berkata keadaan cuaca tidak menentu dan hujan lebat berterusan sejak seminggu lepas dipercayai menjadi punca insiden tebing runtuh di laluan jalan tar itu. 

"Runtuhan ini telah menyebabkan sebahagian jalan tar rebak dan runtuh serta tidak selamat untuk dilalui oleh kenderaan dan pejalan kaki.

"Sejurus menerima maklumat kejadian ini, MPT telah mengambil tindakan segera dengan memaklumkan kepada pihak JKR serta meletakkan kon keselamatan di kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata pihak JKR telah memeriksa lokasi kejadian dan mengambil langkah sementara menutup permukaan kawasan runtuhan dengan lapisan kanvas tarpaulin.

Khairul Amir berkata tindakan itu adalah bagi mengawal keadaan supaya tidak bertambah buruk memandangkan cuaca yang kerap hujan.

Difahamkan terdapat beberapa lokasi tanah runtuh melibatkan laluan jalan dan cerun di bukit peranginan itu pada 2019 namun kerja-kerja pembaikan tergendala disebabkan pelaksanaan PKP pada Mac tahun lepas.

Bagaimanapun, orang awam kini boleh mendaki kawasan bukit itu melalui jalan bertar atau berjalan sehingga ke Kilometer 4 selepas aktiviti tersebut dibenarkan apabila Perak memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan