BAJET 2022

KLFW 2021 gabungan fesyen dan warisan

23/10/2021 06:04 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt -- Industri fesyen tanah air kembali meriah menerusi penganjuran Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) yang kali ini tampil dengan kelainan menggabungkan fesyen dan warisan.

KLFW edisi kesembilan itu bukan sahaja menjadi platform meraikan bakat pereka tempatan, malah menghidupkan semula pameran tekstil Malaysia, Thread of Heritage.

Pengasas KFLW Andrew Tan berkata pameran yang bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap fabrik tempatan  sekali gus menghargai keindahan, keunikan dan sejarah warisannya itu, disokong oleh rakan bank rasmi KLFW, AmBank Malaysia.

“Pameran tahun ini menampilkan koleksi Cheminahsayang. Koleksi ini amat istimewa kerana ia merupakan rekaan batik blok tangan karya Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan dikeluarkan secara eksklusif oleh Yus daripada Kakee Batik.

"Setiap karya merangkumi keindahan menakjubkan pembuatan corak dan warisan batik Malaysia," katanya pada pelancaran media KLFW 2021 baru-baru ini.

Tan berkata bagi memupuk kecintaan lebih mendalam terhadap industri fabrik tempatan, pihaknya turut berkolaborasi dengan Taylor's University dan Barbie Mattel bagi Projek Patung, iaitu satu inisiatif baharu yang mengetengahkan kekayaan budaya dan warisan Malaysia, sekali gus sebagai sebahagian usaha memelihara  seni dan kraf pelbagai etnik yang terdapat di negara ini.

“Projek ini membabitkan pelajar Teknologi Rekaan Fasyen dari Taylor’ University yang bakal tampil dengan rekaan pakaian 12 patung Barbie berasaskan kepada empat tema perincian iaitu Manik Nyonya, Sulam Tekat, Kaligrafi dan Inai. Hasil karya seni mereka akan dipamerkan di KLFW,” katanya.

Sementara itu, KLFW 2021 akan menampilkan 48 pereka tempatan bagi koleksi sedia untuk dipakai yang diperagakan secara digital dan bersemuka dari 1 hingga 7 Nov ini di Pavilion Kuala Lumpur.

Tan berkata ketika negara berada dalam tempoh peralihan daripada fasa pandemik COVID-19 kepada endemik, KLFW telah bersedia untuk memperkenalkan semula trend fesyen terbesar dan terbaharu kepada rakyat Malaysia melalui acara fesyen terbesar pernah dilakukannya.  

“Kita telah menempuh keadaan yang tidak menentu. Bagaimanapun, sebagaimana krisis-krisis lain sebelum ini, kali ini juga kita mampu lalui. Walaupun perjalanan untuk pemulihan tidak mudah, dengan bersatu kita akan tampil lebih kuat.

“Saya rasa terharu melihat pereka-pereka yang bersama kami untuk KLFW 2021 menunjukkan ketahanan mereka, mencorak semula perniagaan masing-masing dan menjadikan proses dalaman lebih efektif dengan mewujudkan tempat kerja yang lebih lancar dan cekap," katanya.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan