BAJET 2022

11 penunggang motosikal ditahan di Ipoh

14/08/2022 07:16 PM

IPOH, 14 Ogos (Bernama) -- Sebelas penunggang motosikal ditahan atas pelbagai kesalahan menerusi Op Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Jelapang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata mereka yang ditahan didapati menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan, serta melakukan pemalsuan nombor kenderaan di bawah Seksyen 42 (1) dan 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 [Akta 333]. 

Katanya operasi dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak itu turut menahan dua individu kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998).

"Sebanyak sembilan motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan manakala sebanyak 187 saman trafik atas pelbagai kesalahan dikeluarkan kepada pengguna jalan raya," katanya dalam kenyataan.

Yahaya berkata pihaknya akan terus menjalankan operasi bersepadu dari semasa ke semasa bagi memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap samseng jalanan di daerah ini. 

"Operasi ini merupakan salah satu usaha Polis Daerah Ipoh dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya di samping membantu mencegah kejadian jenayah jalanan di sekitar bandar raya ini," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan