BAJET 2022

Sektor PKS harungi pemulihan walaupun dengan kadar perlahan pada 2022

05/12/2022 10:31 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin & Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Selepas dua tahun terhenti akibat kesan buruk pandemik COVID-19, sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini mengharungi tempoh pemulihan walaupun dengan kadar perlahan memandangkan perjuangan untuk mengekalkan perniagaan pada 2022 masih diteruskan.

Kali ini, kenaikan kos operasi, bahan mentah serta rantaian bekalan menambah keperitan itu sehingga menyebabkan sumbangan kalangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak banyak berubah.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sumbangan PKS kepada KDNK susut kepada 37.4 peratus pada 2021 dengan nilai tambah RM518.1 bilion berbanding sumbangan sebanyak 38.1 peratus kepada KDNK dengan nilai tambah RM512.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Sektor perkhidmatan dan pembuatan mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang utama aktiviti KDNK PKS dengan kedua-dua menyumbangkan lebih 80 peratus kepada KDNK PKS.

Pengerusi Persatuan PKS Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata kenaikan kos bahan mentah, tenaga dan logistik yang berterusan telah menyeret turun margin sekali gus memaksa kalangan PKS menangguhkan pelan pertumbuhan mereka.

“Ini kemudiannya, bermungkinan menyebabkan pemulihan yang kurang optimum bagi sektor PKS,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu Presiden Kebangsaan Samenta, Ding Hong Sing berkata kekurangan tenaga kerja dan penyusutan nilai ringgit juga menjadi kekangan terhadap pemulihan PKS.

Kira-kira dua juta pekerja asing pulang ke negara asal masing-masing semasa pandemik dan hanya lima peratus, mewakili kurang daripada 100,000 orang kembali semula ke negara ini sejak sempadan Malaysia dibuka semula, katanya.

Beliau berkata selain itu, kelemahan nilai ringgit mengakibatkan kos import bahan mentah meningkat dan situasi ini telah menjejaskan perniagaan.

Dalam melangkah maju, PKS dijangka merekodkan prestasi lebih baik pada 2023 memandangkan mereka bersedia meraih manfaat daripada ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dibuat pada 30 Sept, 2022.

“Terdapat permintaan yang tinggi dari negara-negara Eropah untuk membeli barangan dari negara ASEAN dan ratifikasi ini akan membuka lebih banyak potensi perdagangan yang akan menjadikan PKS kita peserta berdaya saing di peringkat global,” katanya.

-- BERNAMA

© 2023 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan