PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

COVID-19 kembali catat tiga angka, hanya empat penularan tempatan

04/06/2020 07:06 PM

PUTRAJAYA, 4 Jun -- Jumlah jangkitan kes positif COVID-19 baharu yang dilapor hari ini kembali melonjak ke tiga angka kepada 277 kes, dengan 271 kes melibatkan bukan warganegara Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara Malaysia hanya melibatkan empat kes selain terdapat dua kes import warganegara Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Dua ratus tujuh puluh kes dalam kalangan bukan warganegara adalah dari Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, dan ia merupakan sampel ulangan bagi Orang Kena Tahan (OKT) yang dikuarantin di depot tahanan ini.

"Mereka terdedah kepada kes positif sebelum ini. Sementara satu kes bukan warganegara adalah saringan di tapak pembinaan di Pudu," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19 di sini hari ini. 

Kali terakhir kes positif COVID-19 di negara ini mencatat tiga angka adalah pada 26 Mei, melibatkan 187 kes.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kumulatif kes positif COVID-19 ialah 8,247 dan tiada kematian dicatat hari ini, sementara enam kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 1,573 dan mereka diasingkan serta diberi rawatan.

Beliau berkata terdapat 28 kes yang sudah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah sebanyak 6,559 atau 79.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu, beliau berkata KKM mengiktiraf peranan penting Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sebagai pasukan tindakan utama dalam usaha membendung dan mencegah penularan COVID-19 di negara ini.

Beliau berkata PKD menggunakan pendekatan tindakan Kesihatan Awam yang dijalankan secara agresif dan tertumpu di lapangan dalam kalangan kes warganegara dan bukan warganegara.

“Sebelum ini lagi, PKD memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pelbagai tindakan mencegah dan membendung jangkitan dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan. Salah satu tindakan penting dilaksanakan sejak permulaan gelombang COVID-19 adalah aktiviti siasatan dan pengesanan secara aktif bagi kes COVID-19,” katanya.

Antara siasatan dan pengesanan adalah siasatan kes COVID-19 di lapangan termasuk kontak rapat, pengesanan kes secara aktif dijalankan dari rumah ke rumah, aktiviti saringan secara bersasar, persampelan secara pandu lalu dan aktiviti nyah kuman di rumah pesakit, katanya.

Selain itu, beliau berkata PKD juga bertanggungjawab memastikan Klinik Kesihatan (KK) terus bersiap siaga menjalankan saringan COVID-19 di kaunter yang dikenal pasti di KK tertentu di daerah masing-masing sebagai pusat pengambilan sampel serta Klinik Sentinel.

Katanya, PKD juga menjalankan aktiviti promosi kesihatan dan sokongan psikososial bagi memastikan masyarakat setempat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima maklumat tepat dan mengamalkan langkah pencegahan.

“PKD turut melaksanakan pengurusan jenazah bagi kes kematian COVID-19 melalui penyeliaan dan pengebumian mengikut garis panduan yang ditetapkan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran,” katanya.

Mengenai PKPD yang merupakan satu tindakan kerajaan bagi membolehkan aktiviti Kesihatan Awam dijalankan, beliau berkata bancian penduduk dari rumah ke rumah dijalankan ketika PKPD oleh anggota pasukan kesihatan termasuk aktiviti persampelan oleh petugas Klinik Kesihatan bagi mengesan kes berisiko.

Justeru, Dr Noor Hisham melahirkan ucapan penghargaan di atas usaha berterusan dan cemerlang PKD terutama kejayaan mencegah penularan COVID-19 khususnya dalam kalangan warganegara yang kini mencatat  satu angka.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan