PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

MOTAC, BNM akan umum mekanisme PTF pada pertengahan Julai

09/07/2020 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan mekanisme di bawah skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF) pada pertengahan bulan ini yang bernilai RM1 bilion.

Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata PTF akan memanfaatkan semua penggiat industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana untuk memastikan mereka kekal berdaya maju dan berdaya saing dalam normal baharu.

“Disertai inisiatif-inisiatif lain yang telah dilaksanakan, kami yakin industri pelancongan mampu bergerak ke hadapan dan mendorong semula industri itu kembali seperti biasa,” katanya dalam sesi webinar bertajuk ‘Pelancongan Domestik Dalam Normal Baharu,’ anjuran bersama MOTAC dan BNM hari ini.

Industri pelancongan kerugian RM45 juta pada separuh pertama tahun ini akibat COVID-19, katanya sambil memaklumkan MOTAC telah bergerak ke hadapan untuk memulakan semula industri menerusi rancangan pemulihan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk merangsang industri berkenaan.

“Antara rancangan itu adalah mengembalikan keyakinan pelancong, menyediakan dana bantuan khas kepada industri, memastikan kesihatan dan keselamatan serta kebersihan di semua tempat tarikan pelancong untuk merangsang perkembangan ekonomi. 

“Ia termasuk meningkatkan kemahiran modal manusia, memanfaatkan pelancongan pintar dengan mengoptimumkan e-pemasaran atau promosi secara digital dan memulihkan semula industri pelancongan,” katanya.

Noor Zari berkata MOTAC berusaha untuk memastikan pembukaan semula sebahagian daripada aktiviti berkaitan pelancongan seperti hotel, muzium dan aktiviti-aktiviti luar.

“Berdasarkan rekod kami, selepas membenarkan 13 sektor untuk dibuka semula dengan prosedur operasi standard (SOP), kadar penginapan telah meningkat daripada lapan peratus pada April kepada kira-kira 30 peratus pada Jun. Ini menunjukkan rakyat Malaysia gemar melancong,” katanya.

Mengenai unjuran industri untuk enam bulan sehingga satu tahun akan datang (pasca COVID-19), Noor Zari berkata berdasarkan kajian MOTAC pada April, 30.7 peratus memilih untuk melancong dalam tempoh enam bulan sehingga setahun lagi manakala 63.9 peratus berkata mereka ingin melancong bersama-sama keluarga.

“Peratusan tertinggi menyatakan mereka berminat mengunjungi pulau dan pantai...ini akan mempengaruhi landskap industri pelancongan dan penggiat perlu mengambil kira kecenderungan ini apabila menawarkan pakej perjalanan,” katanya.

Sesi webinar itu dikendalikan Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC) Datuk Dr Mohmed Razip Hasan, disertai tiga anggota panel iaitu Ketua Pegawai Perniagaan Bank Simpanan Nasional Mujibburrahman Abd Rashid, Presiden Nasional Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Emmy Suraya Hussein dan Ketua Pengarang Gaya Travel Magazine Juhan Kamaruddin.

Sementara itu, Emmy Suraya berkata hampir 28 peratus hotel di bawah MyBHA (2,231 ahli berdaftar) telah ditutup sementara dan selama-lamanya akibat pandemik COVID-19 dengan anggaran kerugian sebanyak RM100 juta.

“Namun, dengan adanya kelonggaran selepas 10 Jun, kita nampak peningkatan kadar penginapan di tempat-tempat tertentu. Dijangka impak positif pelancongan dapat dilihat mulai September ini dan sekiranya sempadan dibuka, ia akan memberi impak lebih bagus,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sering mengadakan interaksi bersama MOTAC dan persatuan-persatuan lain bagi menambah baik sektor pelancongan demi meraih kembali kepercayaan dalam pelancongan domestik buat masa ini.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan