PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

BNM jangka keadaan perniagaan bertambah baik pada separuh kedua 2020

14/10/2020 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt   -- Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan keadaan perniagaan akan bertambah baik pada separuh kedua 2020 seiring dengan peningkatan secara beransur-ansur aktiviti ekonomi.

“Langkah melanjutkan bantuan kewangan bersasar akan terus dapat membantu menyokong perniagaan di samping skim jaminan korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pemulihan nyata semakin kukuh.

“Paling penting, ketampakan yang lebih ketara terhadap prestasi pinjaman daripada peralihan kepada bantuan pembayaran semula yang lebih bersasar kekal penting untuk mengurangkan penghindaran risiko dan meningkatkan bekalan kredit semasa fasa pemulihan ini,” katanya dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan- Separuh Pertama 2020” yang dikeluarkan di sini hari ini.

Laporan itu menyediakan penilaian BNM ke atas risiko semasa dan berpotensi terhadap kestabilan kewangan dan daya tahan sistem kewangan Malaysia bagi mengekalkan peranan pengantaraan kewangannya dalam ekonomi.

Hutang luaran sektor korporat meningkat 4.9 peratus, terutamanya digerakkan oleh pinjaman tambahan oleh syarikat-syarikat yang terlibat dalam sektor berkaitan minyak dan gas dan kesan penilaian ekoran kelemahan nilai ringgit pada separuh pertama 2020 berbanding mata wang utama dan serantau terpilih.

Bagaimanapun, bank pusat berkata risiko kestabilan kewangan daripada pinjaman luar kekal boleh diuruskan kerana pinjaman kebanyakannya bersifat jangka pertengahan hingga panjang dan dilindung nilai kepada sebarang pendedahan terhadap pergerakan mata wang.

Sementara itu, bank pusat itu berkata risiko peningkatan penularan COVID-19 sekali lagi boleh menjejaskan permintaan global. Sektor yang mungkin akan terus terjejas menguasai sekitar 16 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan,” kata bank pusat.

BNM menjangkakan sistem perbankan akan kekal berdaya tahan terhadap peningkatan ketara dalam keseluruhan rosot nilai perniagaan dengan kerugian kepada bank dikurangkan secara signifikan melalui obligasi cagaran dan sumber pendapatan pelbagai di antara peminjam besar.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan