BERITA COVID–19   NS minta Kerajaan Persekutuan timbang beri dos penggalak kepada Exco, ADUN | Hanya 1.6 peratus daripada 6,148 kes baharu COVID kategori tiga, empat dan lima - KP | Tiada kes COVID-19 di Penjara Reman P.Pinang sejak September | Permohonan moratorium di bawah PEMULIH masih dibuka - MOF | COVID: Majlis hari jadi cetus kluster Kimolohing di Ranau | 
PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

RM500 kepada pemandu bas, teksi, e-hailing dibayar mulai hari ini - Tengku Zafrul

22/02/2021 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb -- Bantuan kewangan sekali beri sebanyak RM500 kepada pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing mula dibayar hari ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) itu, melibatkan lebih kurang 110,000 orang dengan jumlah keseluruhan RM55 juta.

“Seramai 20,000 pemandu teksi dan kereta sewa menerima bantuan tersebut yang telah dikreditkan ke dalam akaun pemandu-pemandu yang terlibat, manakala baki seramai 15,000 lagi akan menerima bantuan tersebut secara berperingkat selewat-lewatnya pada 15 Mac 2021,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Tengku Zafrul menjelaskan baki, 75,000 penerima termasuk pemandu e-hailing, bas sekolah dan bas persiaran, akan menerima bantuan berkenaan secara berperingkat mulai 26 Feb 2021.

Beliau berharap ia akan membantu golongan tersebut, sementara Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan.

“PICK tentunya melambangkan titik permulaan bagi pemulihan sektor pelancongan dan sektor-sektor lain yang amat terkesan oleh pandemik COVID-19,” jelasnya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan kewangan sekali beri sebanyak RM500 kepada pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing melibatkan peruntukan tambahan RM66 juta di bawah PERMAI pada 18 Jan lepas.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan