PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

Peruntukan tambahan RM200 juta untuk tingkatkan penjagaan kesihatan, tindakan kolektif penting bagi putuskan rantaian COVID-19 - Tengku Zafrul

28/05/2021 11:38 AM

KUALA LUMPUR, 22 Mei -- Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan akan meningkatkan keperluan penjagaan kesihatan negara dengan pembiayaan terbaru sebanyak RM200 juta tetapi usaha secara bersama rakyat Malaysia juga penting untuk memutuskan kadar jangkitan COVID-19 di dalam negara.

Beliau berkata Kementerian Kewangan (MoF) telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta tahun ini, menjadikan peruntukan menangani COVID-19 untuk kesihatan awam meningkat kepada RM1 bilion.

Selain itu, sebanyak RM5 billion telah diperuntukkan bagi membantu mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi sehingga Malaysia kini antara tercepat di rantau dengan RM800 milion telah dibelanjakan setakat ini, katanya.

“Sebelum ini, kadar vaksinasi adalah sekitar 30,000 hingga 40,000 suntikan sehari dan kini telah mencecah 76,000. Jumlah ini terus meningkat mulai Julai selaras dengan jadual penerimaan bekalan vaksin,” kata Tengku Zafrul dalam satu sidang media yang diadakan di sini hari ini.

Menurutnya, dengan peningkatan kes COVID-19, peruntukan akan ditingkatkan untuk meningkatkan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) dan katil di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia, Hospital Pengajar Universiti serta menyediakan hospital medan MINDEF.

“Peruntukan juga akan ditambah untuk meningkatkan peralatan, ubat dan bahan guna habis yang berkaitan serta pelantikan pegawai perubatan secara kontrak, termasuk pesara,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata selain daripada peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta yang diluluskan, kementeriannya akan terus memantau keadaan dan komited untuk menyediakan peruntukan secukupnya bagi membendung COVID-19.

“Kerajaan komited memastikan peruntukan yang mencukupi untuk kesihatan awam dan kelangsungan hidup golongan terjejas, sementara itu juga pentingnya PKP 3.0 ini sebagai "circuit breaker" untuk mengurangkan bebanan kepada sistem kesihatan negara,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, bukan sahaja Malaysia, malah negara lain di seluruh dunia juga sedang mengalami peningkatan kes COVID-19 sejak awal tahun 2021 dengan pelbagai varian baru.

“Oleh itu, penutupan menyeluruh bukan jalan untuk memutuskan rantaian jangkitan kerana ianya akan memberi impak kepada rakyat, terutamanya kumpulan rentan,” katanya.

Beliau menjelaskan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh akan lebih menjejaskan golongan berpendapatan rendah dan pekerja sektor informal.

Walaupun PKP 3.0 memperlihatkan SOP yang lebih ketat, beliau berkata pelbagai bantuan secara bersasar akan diteruskan bagi membantu individu dan perniagaan yang terjejas.

Antara bantuan sedia ada yang disalurkan oleh kerajaan termasuk saluran bantuan prihatin rakyat sebanyak RM4.48 bilion setakat ini dan subsidi upah yang melibatkan 2.72 juta pekerja.

Bagi sektor perniagaan pula, bantuan kerajaan termasuk dana Bank Negara Malaysia (BNM) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebanyak RM5.2 bilion, skim jaminan danajamin PRIHATIN sebanyak RM39 bilion dan subsidi upah yang melibatkan 330,358 majikan.

Kerajaan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga telah mempermudahkan pergeluaran melalui i-Sinar dan i-Lestari yang secara keseluruhannya berjumlah RM78 bilion setakat ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan