PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

EXIM Bank akan bantu kerajaan dalam Pelan Pemulihan Negara

17/06/2021 04:39 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun -- Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) akan membantu kerajaan melalui inisiatifnya untuk menyokong Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan kerajaan pada 15 Jun lepas dalam usaha membendung pandemik COVID-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahrul Nazri Abdul Rahim berkata bank itu akan terus menyokong inisiatif kerajaan dan menawarkan bantuan untuk mengurangkan beban perniagaan yang terjejas bagi memainkan peranan dalam usaha nasional tersebut. 

“EXIM Bank juga sedang berusaha mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)  dengan merancang untuk memberi vaksin kepada pekerja dan keluarga mereka sebaik sahaja bekalan tersedia, berikutan kluster tempat kerja terus meningkat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya, bank tersebut juga menghargai pelancaran pakej rangsangan Program Strategik  Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Tambahan) bernilai RM40 bilion yang membabitkan suntikan fiskal oleh kerajaan berjumlah RM5 bilion.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan