PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

Salurkan segera inisiatif PEMULIH untuk pulihkan industri pelancongan negara

29/06/2021 01:47 PM

PUTRAJAYA, 29 Jun-- Inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) perlu segera disalurkan kepada pengiat industri bagi memulihkan sektor pelancongan dan kebudayaan negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memastikan penyelarasan dan pemantauan terhadap pelaksanaan PEMULIH berjalan lancar agar penggiat industri mendapat manfaat daripada inisiatif itu.

“MOTAC berharap inisiatif PEMULIH dapat segera disalurkan bagi memberi suntikan semangat kepada mereka untuk bangkit semula dan berganding bahu bersama-sama kerajaan, memulihkan industri pelancongan dan kebudayaan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam melancarkan inisiatif PEMULIH bernilai RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal sebanyak RM10 bilion bertujuan memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat.

Antara bantuan yang boleh dimanfaatkan sektor pelancongan dan kebudayaan melalui PEMULIH ialah   pelanjutan diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi Oktober hingga Disember 2021 kepada pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.

Selain itu, pemberian bantuan one-off sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,300 agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC, penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan kepada syarikat dan mengecualikan cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengendali hotel hingga akhir tahun ini. 

Nancy berkata inisiatif PEMULIH itu menunjukkan kesungguhan kerajaan Persekutuan dalam memastikan penggiat industri pelancongan, seni dan budaya yang terkesan terutamanya ketika negara perlu melaksanakan sekatan pergerakan penuh dapat terus dibantu.

“MOTAC bersyukur dengan keprihatinan kerajaan yang sentiasa memastikan semua pihak yang berada dalam rantaian ekonomi terutama berkaitan dengan sektor pelancongan, seni dan kebudayaan diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Nancy turut mengajak penggiat industri untuk bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam membentuk imuniti kelompok bagi membolehkan Pelan Pemulihan Pelancongan dilaksanakan serta menjayakan Program COVID-19 Free Destination bagi membantu penggiat industri pelancongan dan kebudayaan memulihkan semula industri yang terjejas teruk itu. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan