PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

PEMULIH bantu pacu sektor pembinaan dan golongan B40 - Fadillah

29/06/2021 05:38 PM

PUTRAJAYA, 29 Jun  -- Langkah kerajaan memudah cara prosedur perolehan kerajaan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akan membantu memacu sektor pembinaan yang terkesan akibat kenaikan harga bahan binaan ekoran pandemik COVID-19 serta membantu golongan B40 sektor berkenaan.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata melalui PEMULIH, kerajaan juga membenarkan perubahan harga atau variation of price (VOP) bagi projek kerja berikutan peningkatan ketara kos bahan binaan mulai 1 Jan hingga 31 Dis 2021.

"Dengan membenarkan VOP,  ia akan membantu pihak kontraktor akibat kenaikan mendadak harga bahan mentah ketika ini. Ini kerana kenaikan bahan mentah turut memberi impak kepada masalah kewangan kontraktor.

"Langkah ini juga dapat melancarkan proses permintaan dan penawaran (supply & demand) dalam kerja-kerja pembinaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini mengenai pakej PEMULIH.

Fadillah berkata PEMULIH bernilai RM150 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah bersifat inklusif dan menyeluruh, serta menyantuni setiap lapisan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Melalui PEMULIH, katanya kerajaan membantu kontraktor G1 hingga G4 tempatan melaksanakan projek kerja berskala kecil secara undian dan sebut harga.

"Kontraktor berkenaan (G1 hingga G4) dapat melaksanakan kerja dengan lebih efektif kerana mendapat harga yang keuntungannya lebih selesa. Ia juga memberi peluang kepada lebih ramai kontraktor kecil untuk mengambil bahagian dalam perolehan kerajaan," katanya.

PEMULIH juga membenarkan lanjutan masa atau extension of contract (EOT) projek kerja atau lanjutan tempoh kontrak bagi kontrak bekalan dan perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tertakluk kepada klausa kontrak.

"Lajutan EOT projek akan membolehkan kontraktor menjadual semula jadual kerja bagi memastikan kerja dapat disiapkan sepenuhnya.

"Sebaliknya jika projek ditamatkan, impak kewangan dan masa penyiapan projek yang perlu ditanggung oleh kerajaan adalah lebih tinggi berikutan masa diperlukan untuk melantik kontraktor baru dengan harga baru juga biasanya lebih tinggi daripada kontrak asal," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan