BERITA COVID–19   Kit ujian kendiri COVID: 34 kes dijual melebihi harga ditetapkan | Gim kembali beroperasi kecuali di negeri Fasa Satu - MKN | Gim kembali beroperasi kecuali di negeri Fasa Satu - MKN | COVID: Sabah benarkan 300 jemaah solat Jumaat di masjid utama | Ujian pengesanan COVID-19 langkah tepat lindungi Langkawi-MB Kedah | 
PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

PEMULIH jadi 'talian hayat' ringankan beban rakyat

29/06/2021 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun -- Pelbagai pihak menyifatkan pengumuman bantuan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sememangnya dinanti-nantikan dalam meringankan beban menghadapi pandemik COVID-19.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam catatan di akaun Facebook berkata isu kenaikan harga minyak masak botol satu kilogram hingga lima kilogram ditangani dalam pelaksanaan program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah (MSM).

“Pelaksanaan program membolehkan harga minyak masak botol lima kilogram tidak bersubsidi dapat dikawal dengan harga silingnya tidak melebihi RM30 sebotol, malah sekiranya kawalan harga MSM dapat dilaksanakan lebih baik, kemungkinan dapat harga minyak masak lima kilogram yang lebih murah,” katanya. 

Mohd Khairuddin berkata beliau dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi ingin melihat pelaksanaan program minyak masak bersubsidi dapat ditambah baik pada masa hadapan supaya subsidi itu disediakan kepada golongan sasar yang benar-benar layak.

Sementara itu  Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyifatkan PEMULIH merupakan contoh terbaik kerajaan mengambil kira keluhan dan nadi denyut rakyat apabila semua golongan termasuk B40, M40 dan T20 tidak tercicir dalam pelaksanaan PEMULIH.

Pengerusinya Datuk Razali Idris dalam kenyataan berkata kaukus itu berharap sistem penyampaian dan agihan dilaksanakan secara sifar birokrasi misalnya bagi pengeluaran baharu akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra, kemudahan moratorium automatik selama enam bulan, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas COVID-19 dan Bantuan Bakul Makanan.

“Di samping itu, Kaukus juga berharap peruntukan RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing, tidak mengecualikan Ahli Dewan Negara,” katanya. 

Sementara itu, Majlis Belia Malaysia (MBM) berharap PEMULIH mampu menjadi talian hayat kepada rakyat yang sedang berhempas pulas dalam menghadapi kesukaran dan keperitan hidup ekoran pandemik COVID-19. 

Presiden MBM Jufitri Joha dalam kenyataannya hari ini menggesa golongan belia untuk memanfaatkan sebaiknya bantuan kewangan yang diumumkan serta pelbagai inisiatif seperti MyFutureJobs dan Janapreneur bagi mendapatkan pekerjaan dan mencipta pekerjaan dan perniagaan sendiri.

“Terus mendaftarkan diri untuk divaksin bagi menjayakan agenda besar bagi melandaikan lengkuk jangkitan supaya perusahaan kecil dan sederhana (SME) khususnya boleh beroperasi secepat mungkin pada fasa dua Pelan Pemulihan Negara,” katanya. 

Kata Jufitri, MBM komited membantu kerajaan dan rakyat berhadapan dengan situasi sukar ini dengan inisiatif Sukarelawan Sokongan Vaksin (MyVAC), Sekretariat Inisiatif Belia Berniaga, Relawan untuk Malaysia (bagi membantu rakyat susah) dan Sukarelawan Sokongan Kesihatan Mental Belia.

Di Seremban, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Eddin Syazlee Shith melihat peruntukan sebanyak RM300,000 kepada semua ahli Parlimen termasuk wakil rakyat pembangkang bagi melaksanakan program Bantuan Bakul Makanan akan menjadi pemangkin untuk wakil rakyat lebih gigih membantu rakyat yang terjejas akibat COVID-19.

Bercakap kepada pemberita selepas program pelepasan Jelajah Prihatin Bersatu Negeri Sembilan, beliau berkata semua wakil rakyat perlu memastikan rakyat mendapat manfaat dari program itu. 

“Wakil rakyat atau Ahli Parlimen mesti guna peruntukan tersebut dengan adil untuk bantu mereka (rakyat),” katanya.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan