BERITA COVID–19   Kit ujian kendiri COVID: 34 kes dijual melebihi harga ditetapkan | Gim kembali beroperasi kecuali di negeri Fasa Satu - MKN | Gim kembali beroperasi kecuali di negeri Fasa Satu - MKN | COVID: Sabah benarkan 300 jemaah solat Jumaat di masjid utama | Ujian pengesanan COVID-19 langkah tepat lindungi Langkawi-MB Kedah | 
PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

Melaka jangka beralih Fasa 2 PPN dalam masa terdekat

29/06/2021 06:55 PM

MELAKA, 29 Jun -- Melaka dijangka dapat beralih ke fasa dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh satu atau dua minggu lagi, berdasarkan petunjuk nilai ambang yang digariskan bawah pelan berkenaan, kata Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata antara petunjuk nilai ambang yang diambil kira ialah purata mingguan kes positif di Melaka yang perlu merekodkan bawah 112 kes.

Selain itu, Melaka juga telah mencapai 10 peratus vaksinasi lengkap iaitu dua dos selain jumlah pesakit COVID-19 yang dirawat di unit rawatan rapi juga bawah 70 peratus, katanya.

"Untuk mencapai peralihan fasa dalam PPN yang mempunyai empat fasa keseluruhannya, ia berdasarkan pencapaian negeri dan bukan pencapaian di bawah kerajaan persekutuan. Ia dinilai di bawah tiga kriteria yang ditetapkan di bawah petunjuk nilai ambang,” katanya  kepada pemberita selepas melakukan lawatan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Composites Technology Research Malaysia (CTRM) di Batu Berendam, di sini hari ini.

Rahmad berkata hingga semalam, Melaka telah menerima sebanyak 199,085 dos vaksin Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZaneca, dan daripada jumlah itu, 92.6 peratus atau 184,376 dos telah diberikan kepada rakyat.

Sementara itu, beliau berkata tiga PPV industri akan dibuka bagi pekerja sektor perkilangan dan peniaga kecil, bermula 10 Julai ini yang ditampung menerusi penerimaan tambahan 360,000 dos vaksin pada bulan tersebut.

PPV berkenaan ialah di Infineon Technologies dan Texas Instruments di Batu Berendam serta di Bayou Lagoon Park Resort, Bukit Katil, katanya.

Dalam pada itu, 63 pengamal media termasuk petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di negeri ini menerima dos pertama vaksin di PPV CTRM hari ini.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan