PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

3,726 pelanggan SME Bank diberi moratorium dengan nilai pembiayaan RM5.4 bilion

15/07/2021 10:27 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai -- Bantuan moratorium yang ditawarkan SME Bank sehingga enam bulan dan lanjutan tempoh pembayaran balik pinjaman sehingga 12 bulan dijangka memberi manfaat kepada 3,726 pelanggan dengan melibatkan nilai pembiayaan berjumlah RM5.4 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Aria Putera Ismail berkata kemudahan yang diberikan menerusi Program Bantuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SRP) itu merupakan inisiatif penjadualan semula dan penstrukturan semula pinjaman di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH)

“Sebelum ini, SME Bank telah menawarkan pakej SRP 1.0 dan 2.0 bertujuan memulihkan perniagaan yang terjejas selain membolehkan pelanggan menguruskan aliran tunai mereka dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata bagi SRP 1.0, SME Bank telah membantu 3,084 pelanggan dengan nilai pembiayaan RM4.1 bilion, manakala 311 pelanggan dengan nilai pembiayaan lebih RM248 juta telah mendapat manfaat daripada SRP 2.0 yang berbentuk bantuan bersasar.

Menurut SME Bank sektor yang mendapat perhatian pihaknya adalah sektor pelancongan dan pengangkutan penumpang yang merupakan sektor paling teruk terjejas akibat pandemik.

Sektor lain yang turut menerima bantuan termasuk sektor perkhidmatan, peruncitan serta pembinaan.

Sementara itu, bank tersebut akan menganjurkan program SME Bank XCESS 2021 secara maya pada 26 Julai, 2021 dalam usaha berterusan membantu usahawan PKS menangani masalah pembiayaan dan perniagaan.

Program berbentuk padanan perniagaan peringkat kebangsaan itu akan menghimpunkan 20 syarikat utama, sembilan syarikat ekuiti swasta, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan pihak swasta yang akan menawarkan bantuan langsung kepada usahawan yang hadir.

Pendaftaran untuk menyertai SME Bank XCESS 2021 boleh dibuat di www.smebankxcesss2021.net.

Maklumat juga boleh didapati dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di 03- 26037700 atau layari laman web dan media sosial rasmi SME Bank.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan