BERITA PRU15   PH tidak letak syarat bentuk kerajaan negeri - Wan Rosdy | PRU15 Padang Serai: Calon BN teruskan kempen | DUN Tioman: Masyarakat Orang Asli harap masalah air diselesaikan | DUN Tioman: Calon BN bertemu calon PH, bincang strategi kempen | Calon PN Padang Serai beri keterangan kepada polis berhubung kenyataan ‘kerajaan zina’ | 
JENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket edar dadah lebih setengah juta ringgit tumpas

25/11/2022 01:09 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lepas dengan penahanan seorang lelaki selain merampas dadah heroin bernilai RM550,000 dalam serbuan di Kampung Kubu Gajah Dalam, Sungai Buloh dekat sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata suspek berumur 34 tahun itu ditahan di dalam sebuah kereta pada 5 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

"Hasil serbuan terhadap kenderaan jenis Honda CRV dinaiki suspek, polis menemukan tiga kotak mengandungi 90 bungkusan dadah heroin seberat 41 kilogram (kg). Suspek ditangkap sewaktu menunggu pelanggan mendapatkan dadah itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi berkata hasil siasatan mendapati bekalan dadah heroin dirampas daripada suspek itu turut diproses di sekitar Lembah Klang.

"Suspek masih bujang dan tidak mempunyai pekerjaan tetap menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utamanya. Hasil semakan tiada rekod lampau ditemukan," katanya.

Azmi berkata sindiket itu dikesan beroperasi dengan meletakkan bekalan dadah di dalam kereta tanpa dikunci untuk diambil oleh pembeli. 

Arahan turut diberikan melalui telefon sebelum bayaran oleh pembeli dibuat secara bank in setelah bekalan (dadah) diterima, katanya.

Susulan penangkapan itu, suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 29 Nov ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi membantu siasatan. 

Azmi berkata polis dalam masa sama sedang giat mengesan saki-baki ahli sindiket terbabit.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan