JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS JOHOR TAHAN 46 INDIVIDU TERLIBAT JUDI DALAM TALIAN, LOTERI TANPA LESEN

18/04/2024 09:11 PM

JOHOR BAHRU, 18 April Bernama) -- Polis menahan 46 individu termasuk seorang wanita warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam kegiatan judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen di negeri ini semalam.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata kesemua 39 lelaki dan tujuh wanita yang berusia antara 18 hingga 64 tahun itu ditahan di beberapa premis menerusi Op Dadu.

Beliau berkata melalui serbuan yang dilakukan serentak itu pihaknya telah merampas beberapa barangan seperti 22 pencetak pelbagai jenama, 42 telefon bimbit pelbagai jenama, 102 kertas catitan dan wang tunai berjumlah RM6,935.

“Semua tangkapan akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dengan membantu menjalankan loteri awam dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.

“Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu kesalahan berkaitan urusan mesin judi dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan penjara tidak lebih lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 M Kumar berkata bermula 1 Jan lepas sehingga semalam, polis Johor telah melakukan 770  serbuan melalui Op Dadu dengan 1,102 tangkapan dan rampasan wang tunai sebanyak RM291,708.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan