LELAKI WARGA EMAS DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA DI KAWASAN SEMAK

20/04/2024 10:55 PM

KANGAR, 20 April (Bernama) -- Seorang warga emas lelaki ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tertiarap dengan berkain pelekat tanpa baju, di kawasan semak berhampiran Sungai Kampung Titi Tok Bandar di sini pagi tadi.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata warga emas yang dikenali Che Man Che Pi, 68, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh seorang lelaki di kawasan itu, pada 11.10 pagi tadi.

“Hasil siasatan lanjut polis dapati lelaki tersebut telah meninggal dunia...dan disahkan oleh anak lelaki itu, bapanya telah menghilangkan diri dari rumahnya di Kampung Medan Utan Aji sejak tiga hingga empat hari lepas,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Muhammad berkata usaha mencari warga emas itu sebelum ini telah dijalankan pihak waris dan rakan, namun gagal dan lelaki itu juga mempunyai sejarah penyakit darah tinggi serta menerima rawatan psikiatri di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Beliau berkata pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis telah membuat pemeriksaan dan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan buat masa ini kes itu diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan