SUSPEK RAGUT WANITA DI KLANG DITAHAN DI LANGKAWI

22/04/2024 06:54 PM

SHAH ALAM, 22 April (Bernama) -- Seorang lelaki yang diburu polis berkaitan kes ragut seorang wanita di Klang pada 15 April lepas, berjaya diberkas di Langkawi, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata suspek berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan polis pelancong Ibu Pejabat Daerah Langkawi di hadapan Medan Selera Penarak, Kuah pada 4.15 petang sebelum dibawa pulang untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata beberapa barang kes turut dirampas dan siasatan awal mendapati suspek warga tempatan itu mempunyai lima rekod lampau berkait jenayah dan dadah.

"Suspek direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan semasa melakukan rompakan. 

“Pegawai penyiasat juga sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Cha berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 20 tahun pada Isnin lepas, mendakwa telah diragut ketika sedang menunggang motosikal untuk ke tempat kerja.

Beliau berkata mangsa yang ketika itu berada berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Raja Zarina, Klang, didatangi suspek yang menunggang motosikal dari arah belakang dan bertindak menarik beg silang pada badan mangsa, menyebabkannya terjatuh dan mengalami kecederaan di kedua-dua tapak tangan, lutut dan bahu kiri.

Susulan itu, Cha berkata polis telah membuka kertas siasatan dan melancarkan gerakan memburu suspek yang membawa kepada tangkapannya di pulau peranginan tersebut, semalam.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan