KPDN MELAKA TUMPASKAN SINDIKET SELEWENG DIESEL BERSUBSIDI

07/05/2024 09:12 AM

MELAKA, 7 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi menggunakan lori tangki minyak dalam serbuan di sebuah gudang penyimpanan haram di kawasan perindustrian di Krubong, malam tadi.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata serbuan bermula pada 7 malam itu merampas minyak diesel bersubsidi berjumlah 35,000 liter, hasil pemeriksaan dan pemantauan intensif oleh anggota dan pegawainya di lokasi 'panas' aktiviti penyeludupan dan pemindahan bahan api itu ke luar Melaka. 

"Ketika serbuan, pegawai dan anggota KPDN sempat menghalang lori tangki itu daripada keluar dari gudang dan menahan dua lelaki warga Bangladesh berusia 30-an serta seorang warga tempatan berusia  lingungan 30-an yang bertindak sebagai pemandu lori tangki terbabit," katanya kepada pemberita di gudang penyimpanan berkenaan. 

Beliau berkata selain menyita lori tangki minyak berisi 27,000 liter diesel bersubsidi, pihaknya turut merampas tiga tangki skid berisi 8,000 liter diesel bersubsidi, hos memindahkan diesel serta penyambung dengan keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM256,000, termasuk 35,000 liter diesel bersubsidi bernilai lebih RM75,000.

Menurut Norena modus operandi sindiket itu adalah menggunakan lori 'bonded' atau tertutup untuk membeli diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak sekitar Melaka dan memindahkannya ke dalam tangki skid di gudang itu sebelum memasukkannya ke dalam lori tangki minyak untuk dijual ke luar Melaka.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan sehubungan itu, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan panas atau 'hotspot' terutama kawasan perindustrian bagi membendung kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan