PENAHANAN PEGUAM: SIASATAN SPRM PUNYAI ASAS

11/06/2024 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan penahanan peguam berkaitan siasatan kes penyelewengan kutipan dana sebuah Perbadanan Pengurusan Bersama (JMC) mempunyai asas dan dilakukan di bawah Akta SPRM 2009.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan suruhanjaya itu menerima aduan daripada penduduk sebuah kawasan di Damansara pada hujung Mei lepas mengenai dana kutipan pengurusan dan penyelenggaraan oleh pihak JMC itu yang dipercayai telah diseleweng.

Menurut SPRM, hasil siasatan awal mendapati ada asas disyaki berlakunya perkara tersebut berdasarkan laporan berkaitan kos guaman oleh pihak JMC berkenaan yang tidak diisytiharkan sepenuhnya.

“Sehubungan itu, SPRM telah melancarkan satu operasi pada 4 Jun lepas dan pihak yang disyaki terlibat telah ditahan dan direman bagi maksud siasatan kerana beliau merupakan antara suspek utama. Fokus siasatan adalah di bawah Akta SPRM 2009 serta pecah amanah,” menurut kenyataan itu.

SPRM turut menafikan tohmahan yang dilemparkan dalam sidang media anjuran Lawyers of Liberty (LFL) hari ini berkaitan siasatan kes penyelewengan tersebut.

Menurut SPRM, tidak timbul isu pihak penguat kuasa campur tangan atau berniat menghalang hak awam untuk mendapatkan perwakilan undang-undang seperti yang didakwa LFL. 

“Seorang pegawai SPRM, berdasarkan maklumat bahawa ada sebab yang munasabah untuk mengesyaki sesuatu kesalahan di bawah akta ini telah berlaku boleh memasuki atau memecah buka mana-mana premis, mencari, menyita dan mengambil milik apa-apa buku, dokumen, rekod akaun atau data dan menahan mana-mana orang yang ditemui dalam premis.  

“SPRM berpandangan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak yang sedang disiasat adalah tidak berasas dan seolah-olah bertujuan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan