WANITA WARGA EMAS DITEMUKAN MAUT DISYAKI DIBUNUH

14/06/2024 10:05 AM

IPOH, 14 Jun (Bernama) -- Polis mengklasifikasikan kematian wanita warga emas yang ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di sebuah rumah di Taman Mujur Bercham, dekat sini pada Rabu sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata ia susulan hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa berusia 60 tahun itu mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala dan leher disebabkan trauma objek tumpul.

“Tindakan itu berdasarkan laporan dikeluarkan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini sebaik bedah siasat selesai dijalankan sekitar jam 9.15 pagi pada 13 Jun lepas.

“Siasatan kes pada awalnya dijalankan di bawah kematian mengejut telah diklasifikasikan semula atas kesalahan membunuh dengan niat,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata bertindak atas maklumat orang awam, seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga anak mangsa telah direman selama tiga hari sehingga 14 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut.

Abang Zainal berkata suspek didapati mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah termasuk kes dadah.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan untuk tampil memberi keterangan kepada pegawai penyiasat kes, ASP Fadli Ahmad ditalian 019-2500019 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan