TIGA LELAKI DITAHAN MILIKI SENJATA BERBAHAYA, PERALATAN POLIS

22/06/2024 10:59 AM

IPOH, 22 Jun (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki kerana memiliki senjata berbahaya dan peralatan polis secara tidak sah dipercayai digunakan untuk kegiatan samun di Sungai Senam di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang dalam keadaan mencurigakan selepas menerima maklumat orang awam kira-kira 6.10 pagi.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga lelaki dan kenderaan itu menemukan senjata berbahaya dan peralatan polis yang dimiliki secara tidak sah.

"Dengan tertangkapnya kumpulan ini, pihak polis percaya telah menyelesaikan beberapa kes samun dan menyamar sebagai pegawai polis di daerah Ipoh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Abang Zainal Abidin berkata semakan rekod lampau pula mendapati kesemua lelaki terbabit mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki tempatan berumur antara 27 hingga 37 tahun itu akan ditahan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 89(a) Akta Polis 1967.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan