16 WANITA AFRIKA TERLIBAT AKTIVITI PELACURAN DI BUKIT BINTANG DICEKUP

23/06/2024 02:11 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Seramai 16 wanita warga Afrika yang dipercayai terlibat dalam aktiviti persundalan di sekitar Bukit Bintang ditahan malam tadi dalam serbuan di sebuah hotel bajet di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Delhan Yahaya berkata semua wanita  berumur lingkungan 21 hingga 40 tahun itu aktif melakukan aktiviti berkenaan sejak kebelakangan ini dengan menawarkan khidmat seks kepada pelancong dan warga tempatan pada harga RM100.

Beliau berkata wanita ini akan menggunakan taktik berdiri di tepi jalan bagi mendapatkan pelanggan di sekitar Bukit Bintang sebelum dibawa ke bilik hotel bajet berkenaan yang disewa secara harian. 

“Berdasarkan risikan selama seminggu kumpulan wanita berkenaan didapati kerap bertukar hotel bajet bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

“Dalam serbuan itu polis merampas 40 keping kondom, 10 tiub gel pelincir, 14 telefon bimbit dan wang tunai RM800,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan permohonan reman akan dibuat hari ini.

Noor Dellhan turut menyeru orang ramai dan pihak hotel untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat terhadap sebarang kegiatan menyalahi undang-undang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan