PEMBANTU BELIA DAN SUKAN MENGAKU TIDAK BERSALAH MENIPU WANG TUNAI, BARANG BANTUAN BANJIR

24/06/2024 04:50 PM

KOTA BHARU, 24 Jun (Bernama) -- Seorang Pembantu Belia dan Sukan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menipu dua individu melibatkan wang tunai RM64,200 dan pembekalan barangan bantuan banjir pada 2019 hingga 2022.

Tertuduh, Muhammad Alif Heikal Samsol, 35, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya Azhar Deraman, 53, untuk menyerahkan wang berjumlah RM25,000 dengan mempercayai Azhar dilantik sebagai kontraktor bagi membaik pulih gelanggang futsal di bawah seliaan Pejabat Belia dan Sukan Bachok pada 6 Okt 2019, yang sebenarnya tidak wujud. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Pantai Irama, Bachok pada 16 Okt 2019. 

Bagi pertuduhan kedua hingga keenam, tertuduh didakwa memperdayakan seorang wanita Nur Baiti Yusof, 38, untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM39,200 dan barangan masing-masing berjumlah 80 kotak makanan kering, pek barang keperluan wanita serta selimut.

Tertuduh didakwa memperdaya mangsa dengan mempercayai Nur Baiti dilantik sebagai pembekal bagi Program Pasca Bencana Banjir dan Program Kursus Kesukarelawan Satria Rakan Muda di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan di sebuah hotel di Tunjong dan stesen minyak di Panji di sini  pada 9 hingga 24 Nov 2022. 

Kesemua pertuduhan didakwa  mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga maksimum 10 tahun dan boleh disebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mariah Omar dan Ermi Yasmin Abd Momen mencadangkan  jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserah kepada pihak berkuasa dan tidak mengganggu saksi pendakwaan. 

Terduduh yang diwakili peguam  Azura Ghazali merayu supaya jaminan anak guamnya dikurangkan dengan alasan tertuduh menanggung isteri dan empat anak. 

Tertuduh yang sudah ditukarkan ke jabatan lain di Selangor  itu dibenarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tersebut termasuk perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Kota Bharu setiap bulan. 

Kes ditetapkan pada 28 Julai depan untuk sebutan semula  kes dan tertuduh kemudian dibebaskan selepas menjelaskan wang jaminan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan