PERUNDING PELABURAN DIDAKWA TERLIBAT PENGUBAHAN WANG HARAM HAMPIR RM1 JUTA

16/07/2024 02:54 PM

TAIPING, 16 Julai (Bernama) -- Seorang perunding pelaburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM1 juta pada bulan Julai tahun lepas.

 Saiful Nizam Saharuddin, 39, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Pemilik PMBIS Growth Venture itu didakwa memindahkan sejumlah wang hasil daripada aktiviti haram ke akaun milik empat individu, menerusi empat transaksi dengan jumlah keseluruhan bernilai RM926,427.53, dan semua kesalahan itu dilakukan di CIMB Islamic Bank Berhad, Klang, Selangor pada 27 Julai tahun lepas.

Dia dituduh di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001[Akta 613] yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan juga denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan kerana perbuatan itu melibatkan kesalahan serius dan membabitkan kepentingan awam.

Peguam Pang Tek Kit yang mewakili Saiful Nizam pula memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya itu sukar memperolehi pekerjaan pada masa ini di samping mempunyai tiga orang anak berusia setahun hingga 11 tahun serta bakal berhadapan dengan kes penceraian.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara yang menetap di Kuala Kangsar serta diminta untuk melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan menetapkan 22 Ogos untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan