SUSPEK BUNUH NUR FARAH KARTINI DIBAWA KE LOKASI KEJADIAN

16/07/2024 05:12 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Suspek kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah dibawa ke lokasi kejadian di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Hulu Selangor, di sini, hari ini. 

Lelaki itu dibawa menaiki kereta jenis Proton Waja berwarna merah diiringi empat kenderaan lain.

Suspek yang disahkan seorang anggota polis itu tiba di lokasi kejadian pada 2.30 petang dengan memakai pakaian reman berwarna oren dan pelitup muka.

Sepanjang 15 minit di lokasi tersebut, suspek berusia 26 tahun itu dilihat menunjukkan kawasan semak-samun berhampiran anak sungai dipercayai lokasi sebenar mayat mangsa ditemukan.

Terdahulu, media tempatan melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak Rabu lepas (10 Julai), ditemukan 6 petang semalam di ladang kelapa sawit berkenaan, dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Gadis berusia 25 tahun yang berasal dari Miri, Sarawak itu dilaporkan gagal dikesan selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan berhampiran Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan