IMIGRESEN NEGERI SEMBILAN GEMPUR PENEMPATAN HARAM WARGA ASING DI SEREMBAN

17/07/2024 10:56 AM

SEREMBAN, 17 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS) menggempur sebuah lokasi dipercayai penempatan haram seluas 0.3 hektar (2,705 meter persegi) berhampiran hutan di Taman Bandar Senawang dekat sini awal pagi tadi.

Pengarah berkenaan Kennith Tan Ai Kiang berkata seramai 69 warga Indonesia dan Bangladesh termasuk lapan wanita berusia dalam lingkungan 24 hingga 60 tahun diperiksa dalam serbuan kira-kira tiga jam bermula 1 pagi dengan 11 daripadanya ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata antara kesalahan dikenal pasti adalah mengikut Seksyen 6 (1)(c) iaitu tidak mempunyai pas dan dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1) (c) iaitu tinggal di negara ini melebihi masa.

“Mengikut maklumat, mereka telah tinggal di kawasan ini lebih lapan tahun dengan dilengkapi sumber air dan bekalan elektrik yang dipercayai dicuri selain turut bercucuk tanam untuk kegunaan sendiri. Lokasi ini pernah diambil tindakan pada 2009 namun kini makin berkembang.

“Secara keseluruhan, mereka adalah pekerja buruh binaan. Kita percaya kawasan ini dahulunya tempat tinggal pekerja pembinaan dan selepas habis projek, mereka masih tinggal di sini walaupun bekerja di kawasan pembinaan lain,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan di sini awal pagi tadi.

Beliau berkata maklumat daripada mereka mengatakan bahawa penempatan tersebut disediakan majikan, namun risikan mendapati mereka turut menjadikan tempat tinggal itu sebagai transit kepada warga asing yang datang mencari kerja dengan caj RM50 semalam.

“Kita masih menyemak status tanah ini dan tindakan selanjutnya akan diambil termasuk merobohkan struktur premis sekiranya benar ia tiada kebenaran," katanya.

Dalam pada itu, Tan berkata ketika serbuan terdapat warga asing yang cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota operasi namun berjaya ditahan.

Jelasnya, mereka yang menghuni premis tersebut dianggarkan seorang sebilik dengan keadaan penginapan agak padat dan kotor selain ada individu dalam kalangan mereka yang bertindak sebagai ketua di penempatan itu.

“Pintu masuk ke perumahan ini ada palang dan pagar yang ditutup pada waktu malam, ada lokasi yang kita terpaksa pecahkan rantai pada pintu untuk masuk ke dalamnya dan kawasan ini agak tersorok walaupun ada perumahan berdekatan,” katanya selain tidak menolak kemungkinan ada penempatan sama di kawasan lain.

Sementara itu, beliau berkata kesemua yang ditahan akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, di sini untuk siasatan dan tindakan susulan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan