KES BUNUH NUR FARAH KARTINI: POLIS JUMPA TELEFON PINTAR

17/07/2024 02:56 PM

HULU SELANGOR, 17 Julai (Bernama) -- Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menemukan telefon pintar dalam operasi mencari bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, di sebuah parit di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, di sini.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati pihak polis menemukan telefon pintar itu pada 12.21 tengah hari selepas menjalankan operasi kira-kira sejam.

Terdahulu, pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di lokasi kejadian kira-kira 9.50 pagi untuk memulakan proses mengenal pasti beberapa bahan bukti.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dibantu oleh Bomba Sukarelawan Felda Gedangsa dilihat mengepam sedikit air parit terbabit sebelum Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik PDRM memulakan pencarian dalam air.

Suspek kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu turut kembali dibawa ke lokasi kejadian hari ini bagi menunjukkan kawasan di sekitar parit itu selama kira-kira lima minit.

Mayat Nur Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang kira-kira 6 petang, pada Isnin.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang anggota polis bertugas di Perak kini direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan