JENAZAH NUR FARAH KARTINI DIJANGKA DITUNTUT SELEPAS DNA IBU DIAMBIL - ABANG

17/07/2024 03:54 PM

SUNGAI BULOH, 17 Julai (Bernama) -- Urusan tuntutan jenazah mangsa bunuh Nur Farah Kartini Abdullah dijangka hanya dapat dilakukan selepas pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) ibunya di Hospital Kuala Kubu Bharu hari ini.

Perkara itu dinyatakan abang mangsa, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28, menerusi sistem mesej aplikasi WhatsApp hari ini.

"Saya tidak pasti pukul berapa boleh datang ke Jabatan Forensik untuk tuntut jenazah," katanya.

Mohd Farriza Amir berkata butiran lanjut berkaitan urusan pengebumian adiknya juga belum dapat dikongsikan lagi.

"Apa yang saya boleh katakan jenazah akan dikebumikan di Pahang," katanya.

Sebelum ini media melaporkan proses bedah siasat mayat Nur Farah Kartini di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh selesai pada 6.10 petang, semalam.

Mayat Nur Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang kira-kira 6 petang, pada Isnin.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang anggota polis bertugas di Perak kini direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan