LELAKI WARGA MYANMAR DITEMUKAN MAUT DI DUSUN DURIAN

17/07/2024 09:04 PM

KULIM, 17 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki warga Myanmar berusia 36 tahun ditemukan maut di sebuah dusun durian di Jalan Kulim-Junjung dekat sini Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Azizul Mohd Khairi berkata lelaki terbabit yang bekerja di dusun durian itu dikatakan tinggal bersama dua lagi rakan senegara di sebuah pondok di dusun berkenaan.

"Mangsa ditemukan terbaring di lereng bukit bersebelahan pondok itu dengan tiga kesan tikaman objek tajam pada bahagian belakang badannya.

"Siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku pada malam 14 Julai lepas dan mangsa disyaki diserang dua rakan senegara yang kemudian menghilangkan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan dua suspek itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan boleh menyalurkan kepada pegawai penyiasat ASP Mohd Fakruzi Ismail di talian 019-7204939," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan