POLIS TAHAN DUA LELAKI WARGA ASING, GAGALKAN CUBAAN SELUDUP 10.16 KG DADAH

18/07/2024 05:27 PM

IPOH, 18 Julai (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki warga Indonesia ketika cuba menyeludup keluar dadah jenis methamphetamine seberat 10.16 kilogram (kg) bernilai RM340,000 di kawasan jeti nelayan Sungai Tiang, Bagan Datuk pada 15 Julai lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata hasil pemeriksaan sekitar 10.00 malam itu telah menemukan 10 paket lut sinar dadah berkenaan di dalam sebuah bot fiber milik salah seorang suspek.

“Kedua-dua mereka yang ditahan berusia 42 dan 46 tahun selain hasil saringan awal air kencing mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Dianggarkan jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 106,100 penagih,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Azizi berkata sindiket ini dipercayai mula bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah pada awal Januari lepas dan disyaki untuk pasaran negara jiran.

Dalam pada itu, beliau berkata kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula 16 Julai hingga 22 Julai ini dan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, Azizi berkata Polis Perak telah berjaya merampas 158.6 kg dadah pelbagai jenis bernilai RM5.2 juta sepanjang Januari hingga 17 Julai.

Beliau berkata rampasan terbesar membabitkan methamphetamine seberat 67.5 kg, heroin (62.4 kg), kafein (19.4 kg), ganja (5.1 kg), ketamin (1.6 kg), eramin 5 (1.4 kg), pil ecstacy (0.6 kg) dan pil yaba (0.6 kg).

“Jumlah keseluruhan tangkapan ialah 11,562 individu melibatkan 1,437 (bekalan), 3,422 (memiliki), 75 (Langkah-langkah Pencegahan Khas) dan 6,628 (urin positif dadah),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan