OPS PINTAS MEGA: 47 DITAHAN, SEORANG DISELAMATKAN DI KERIAN

18/07/2024 07:15 PM

IPOH, 18 Julai (Bernama) --  Seramai 47 pekerja asing dari China dan Myanmar ditahan manakala seorang mangsa diselamatkan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dalam Ops Pintas Mega ATIPSOM di Kerian, semalam.

Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu melibatkan sebuah premis yang menjalankan perniagaan kitar semula kertas sampah untuk dijadikan pelapik tapak kasut.  

Menurut jabatan itu enam kesalahan dikenal pasti antaranya berkaitan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 serta kesalahan di bawah Akta Kerja 1955 berhubung potongan tidak sah, membayar gaji secara tunai tanpa kebenaran dan tempoh bekerja melebihi 45 jam seminggu.

"Kesalahan lain yang turut dikesan oleh pihak PDRM adalah termasuk Seksyen 14 ATIPSOM, Seksyen 55b Akta Imigresen, Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 12(f) Akta Pasport," menurut kenyataan itu.

Menurut JTK Negeri Perak, operasi dengan kekuatan 76 pegawai terdiri daripada 20 orang daripada jabatan itu dan 56 pegawai PDRM, bertujuan membanteras aktiviti pemerdagangan manusia dan eksploitasi buruh paksa di Malaysia. 

Turut hadir Pengarah JTK Negeri Perak Muhamad Fauzi Abd Ghani sebagai ketua operasi yang turut disertai Bahagian D3 ATIPSOM, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Ibu Pejabat Kontinjen Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan