TIGA LELAKI DISYAKI BUNUH RAKAN KERANA HUTANG RM7,000 AKAN DIDAKWA ESOK

18/07/2024 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Tiga lelaki tempatan akan dituduh di Kompleks Mahkamah Kajang esok kerana disyaki membunuh rakan mereka setelah mangsa gagal melunaskan hutang berjumlah RM7,000.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata siasatan kes berkenaan dilakukan berikutan laporan penemuan  mayat  dalam keadaan terbakar di kawasan semak samun berhampiran Empangan Semenyih, Selangor pada 23 Jun lepas.

“Bertindak atas maklumat awam dan siasatan, pada 11 Julai, polis menahan kenalan mangsa, iaitu empat lelaki berumur lingkungan 18 hingga 44 tahun di kawasan Batu 14, Hulu Langat bagi membantu siasatan.

“Mangsa, seorang lelaki berumur 28 tahun selepas disahkan menerusi  ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dipercayai berhutang dengan salah seorang daripada empat yang ditahan itu.

“Hasil pemeriksaan dan ujian awal saringan air kencing mendapati semua yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripada mereka mempunyai lebih 20 rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan.

Naazron berkata tiga suspek yang terlibat akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,  manakala seorang lagi suspek akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan