JKDM PULAU PINANG BONGKAR RUMAH TERBIAR JADI STOR ARAK

19/07/2024 01:46 PM

BUTTERWORTH, 19 Julai (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang membongkar sindiket penyeludupan minuman keras selepas serbuan ke atas sebuah rumah terbiar di kawasan pesisir dekat Jelutong Timur di sini, 4 Julai lepas.

Pengarahnya Roselan Ramli berkata serbuan dibuat sepasukan pegawai Unit Marin Bahagian Pengkuatkuasaan yang menjalankan rondaan kira-kira 6.30 petang, selepas pemantauan selama satu hari mendapati tiada pergerakan di premis itu.

“Hasil pemeriksaan rapi di premis tersebut telah menemukan sejumlah 21,648 tin minuman keras jenir bir dianggarkan bernilai RM45,994 dan cukai RM205,772. 

“Sebahagian daripada minuman keras tersebut didapati bertanda ‘Malaysia Duty Not Paid’ (MDNP) iaitu untuk pasaran di zon bebas atau dieksport manakala sebahagian lagi dipercayai diimport secara tidak sah kerana tiada setem cukai. Kesemua minuman ini adalah untuk pasaran di utara Semenanjung Malaysia,” katanya pada sidang media di stor simpanan Kastam Bagan Jermal di sini, hari ini.

Menurut Roselan, berdasarkan siasatan awal, pemilik premis itu sudah meninggal sejak setahun lepas dan sindiket dipercayai menyewa premis itu daripada warisnya.

Beliau berkata siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 masih dijalankan bagi mengesan suspek.

Sementara itu, Roselan berkata bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini pihaknya telah membuat rampasan berjumlah lebih RM26 juta termasuk cukai melibatkan 167 kes.

Beliau berkata kes terbanyak ialah rampasan rokok iaitu 80 kes bernilai RM2.71 juta dan cukai RM9.2 juta, diikuti minuman keras 54 kes melibatkan RM7.6 juta termasuk cukai.

JKDM Pulau Pinang juga katanya berjaya memperoleh tiga kes dadah bernilai hampir RM1 juta selain 22 kes kenderaan melibatkan nilai RM1.23 juta dengan jumlah cukai sebanyak RM2.24 juta.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat bagi membantu kastam mengekang kegiatan penyeludupan serta tidak membabitkan diri dengan apa juga aktiviti berkaitan jual beli, menyimpan dan memiliki barangan terbabit yang boleh menyebabkan negara mengalami kerugian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan