BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 

REMPUH KERETA POLIS: TIGA LELAKI DITAHAN, SEORANG LAGI SEDANG DIKESAN

19/07/2024 03:36 PM

JOHOR BAHRU, 19 Julai (Bernama) -- Tiga lelaki ditahan kerana merempuh kereta polis dan nyaris menyebabkan kecederaan kepada anggota sedang bertugas hingga tembakan terpaksa dilepaskan di Jalan 17, Taman Kota Masai, dekat sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata dalam kejadian kira-kira 12.20 tengah hari itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam telah menahan sebuah motosikal yang dinaiki seorang lelaki untuk pemeriksaan.

Beliau berkata ketika pemeriksaan dijalankan, muncul sebuah kereta yang dipandu secara melulu dan melanggar kereta polis berkenaan hingga menyebabkan anggota pasukan keselamatan itu terpaksa melepaskan tembakan ke arah kereta yang dinaiki suspek bagi mempertahankan diri. 

“Susulan itu, kita berjaya menangkap tiga lelaki tempatan yang berumur dalam lingkungan 24 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan. 

“Hasil semakan mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod kesalahan jenayah dan tiga rekod kesalahan dadah, suspek kedua pula memiliki satu rekod kesalahan jenayah dan dua rekod kesalahan dadah, manakala suspek ketiga memiliki dua rekod kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Sohaimi berkata hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine. 

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas iaitu Mohd Syakirin Mohd Samsudin, 25, juga sedang giat dijalankan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Mohd Afzan Musa di talian 016-2956969 atau ke talian utama IPD Seri Alam di 07-3871422.

“Permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat hari ini,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 17 saat yang dimuat naik menerusi akaun Facebook 'Encik Ai' dan boleh diakses pada pautan URL: https://www.facebook.com /share/.p/v9UE5XM7HxcsnQm/?mibextid=A7sQZp, memaparkan mengenai kejadian terbabit. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan