BEKAS PENSYARAH DIDAKWA EMPAT PERTUDUHAN BERKAITAN KEGANASAN

21/07/2024 02:30 PM

JOHOR BAHRU, 21 Julai (Bergambar) -- Seorang bekas pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan berkaitan keganasan. 

Tiada pengakuan direkodkan daripada Abdullah Daud, 70, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari, kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Abdullah didakwa menggalakkan perbuatan pengganas dengan cara menanam fahaman ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS); dan membenarkan perjumpaan diadakan di dalam rumahnya bagi tujuan aktiviti keganasan di Pulai di sini.

Dua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 3 Sept 2023 hingga 14 April tahun ini, mengikut Seksyen 130G(a) dan Seksyen 130H(a) Kanun Keseksaan yang kedua-duanya membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun beserta denda, jika sabit kesalahan.

Warga emas itu juga didakwa memiliki buku digital PDF dan video berkaitan IS dalam telefon bimbitnya; serta dua buku bertajuk Hakikat Dienul Islam dan Tarbiyah Jihadiyah yang berunsur keganasan dan berkaitan IS di lokasi sama. 

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan antara 23 Jun hingga 28 Jun lepas, dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau dengan denda dan dilucuthakkan bahan dimiliki itu, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama seorang kontraktor Mohamad Awang, 48, turut didakwa memiliki barang berkaitan IS dalam telefon bimbit dan komputer ribanya di sini, pada 7.05 pagi, 23 Jun tahun ini, juga mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohamad dan mahkamah menetapkan 18 Sept depan untuk sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara Rullizah Abdul Majid dan Lina Hanini Ismail, manakala Abdullah dan Mohamad tidak diwakili peguam.

Sementara itu di SEGAMAT, seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan pengganas Daesh.

Irma Julyanti Buang, 39, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rahimah Abd Majid namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Irma Julyanti dituduh memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan cara menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama Bunga Dahlia dan TikTok atas nama bungadahlia111 yang dikesan melakukan perbuatan itu di Pusat Tahanan Polis Batu Muda, Kuala Lumpur kira-kira 10.28 pagi pada 28 Jun lalu.

Dia dituduh di bawah Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman dengan penjara maksimum 40 tahun atau denda dan dilucut hak mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.

Bagi pertuduhan kedua pula Irma Julyanti dituduh memiliki bahan-bahan berkaitan kumpulan penggasan Daesh di dalam telefon bimbit dan komputer riba yang perbuatan itu dikesan dilakukan di Felda Moakil, Labis kira-kira pukul 7.10 pagi pada 23 Jun lepas.

Dia dituduh di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda dan dilucuthak mana-mana bahan tersebut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Ab Manaff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Sept depan untuk pengurusan kes bagi penyerahan laporan pakar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan