LELAKI DITAHAN POLIS SELEPAS DIKEJAR 10 KM

21/07/2024 02:59 PM

GEORGE TOWN, 21 Julai (Bernama) -- Polis berjaya menahan seorang lelaki dan merampas sejumlah ganja serta syabu selepas mengejar kereta Perodua Myvi dipandu lelaki terbabit dari Tanjung Tokong hingga Batu Ferringhi, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata pada 6.40 petang, anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah telah mengarahkah lelaki itu memberhentikan keretanya, namun lelaki itu bertindak memecut laju kenderaannya.

"Kejadian turut mengakibatkan berlaku kemalangan jalan raya melibatkan beberapa kenderaan lain ketika pemandu itu cuba meloloskan kenderaannya daripada ditahan pihak polis yang mengejarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selepas mengejar kira-kira 10 kilometer, anggota polis berjaya menahan lelaki berusia 30 tahun itu apabila kenderaan terbabit tersekat dalam kesesakan jalan raya di hadapan sebuah restoran di Batu Ferringhi.

Razlam berkata pemeriksaan pada beg silang lelaki itu menemukan sejumlah ganja dan syabu manakala ujian air kencing mendapati dia positif terhadap dadah jenis methamphetamine serta amphetamine.

Lelaki berkenaan yang memiliki satu rekod kes jenayah lampau dan dua rekod berkaitan dadah, katanya kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 12 (3), Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 186 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular menerusi media sosial beberapa video berdurasi 23 saat hingga satu minit 13 saat memaparkan orang ramai serta anggota polis yang menaiki motosikal mengejar sebuah kereta dipandu secara melulu dan berbahaya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan