MAHKAMAH PERSEKUTUAN TOLAK RAYUAN BEKAS PEMANDU GRAB

22/07/2024 06:38 PM

PUTRAJAYA, 22 Julai (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan seorang bekas pemandu Grab untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Kementerian Sumber Manusia menolak pendengaran kes wanita itu di Mahkamah Perusahaan.

Permohonan Loh Guet Ching, 45, itu ditolak panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Rhodzariah Bujang.

“Kami dapati persoalan (soalan undang-undang) yang dirumuskan tidak memenuhi Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” kata Hakim Tengku Maimun melalui prosiding Zoom dan menambah tiada perintah berhubung kos.

Ketika prosiding itu, peguam Loh Ng Kian Nam telah meminta mahkamah untuk mengesahkan enam persoalan undang-undang, atas alasan ia berkaitan sama ada pemandu e-panggilan dan pekerja ekonomi gig patut memfailkan pertikaian penyingkiran mereka secara tidak adil di Mahkamah Perusahaan atau Mahkamah Sivil.

Peguam Kanan Persekutuan Nik Mohd Noor bin Nik Kar yang mewakili Menteri Sumber Manusia dan Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perindustrian serta peguam Datuk T. Thavalingam yang mewakili MyTeksi Sdn Bhd, membantah bahawa soalan yang dinyatakan Loh itu bukanlah sesuatu yang baharu.

Untuk mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan, perayu perlu menunjukkan bahawa permohonan yang dibawa itu mempunyai persoalan perundangan atau perlembagaan yang baharu, mempunyai kepentingan awam yang belum ditangani sebelum ini dan memerlukan penghujahan lanjut.

Loh telah memfailkan tuntutan dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan agar dikembalikan semula ke platform Grab di bawah MyTeksi Sdn Bhd, yang ditolak oleh menteri sumber manusia atas budi bicaranya.

Beliau kemudiannya memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur. 

Pada 9 Julai 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Kamal Shahid menolak permohonan Loh bagi semakan kehakiman, sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang sama pada 27 Nov 2023.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pemandu Grab tidak termasuk dalam kategori ‘pekerja’ seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan oleh itu tidak boleh difailkan representasi untuk pemecatan tidak adil di Mahkamah Perusahaan.

Pada awal 2019, Loh melaporkan Grab kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan berhubung penyingkirannya daripada platform itu secara tidak adil berikutan pertikaian beliau dengan seorang penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor pada November 2018.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan